Monday 15 June 2015

20000 PEKERJA MAS DIBERHENTIKAN…

PEKERJA DIANAKTIRIKAN KEUNTUNGAN DIUTAMAKAN

CEO MAS (Sistem Penerbangan Malaysia), Christoph Mueller mengumumkan seramai 20000 pekerja MAS akan diberhentikan, yang mana 6000 pekerja dihentikan sama sekali, 2000 pekerja akan diberikan kontrak sementara, dan 14000 pekerja akan ditawarkan sebagai pekerja baru dalam syarikat MAB (Syarikat Penerbangan Malaysia) yang ditubuhkan sebagai ganti kepada MAS.   Mueller ditugaskan oleh kerajaan untuk memulihkan sistem penerbangan negara yang telah dilanda kerugian demi kerugian mahupun sebelum trajedi penerbangan pada tahun lalu.  Yang jelas pekerja telah dijadikan mangsa akibat kerugian dan trajedi tersebut.

Dengan nama penstrukturan semula dengan keuntungan sebagai matlamat utama, pekerja MAS yang telah berkerja bertahun-tahun telah dipinggirkan. Pampasan yang diberikan hanyalah manfaat yang minimum, dan tidak mampu menjamin kebajikan pekerja dan keluarga mereka yang selama ini telah mengharapkan MAS sebagai periuk nasi mereka. Rata-rata pekerja MAS adalah pekerja mahir dan mempunyai pengalaman luas dalam menerajui posisi-posisi penting dalam mengendalikan syarikat penerbangan, tetapi ini semua tidak diendahkan apabila agenda pasaran bebas kapitalisme digunakan sebagai agenda muktamad dalam membuat keputusan. 

Manakala tawaran kerja kontrak sementara kepada 2000 pekerja adalah satu penganiyaan kepada hak dan kebajikan pekerja memandangkan ketidaktentuan kerja, dan dalam kebanyakan situasi pekerja kontrak akan menjadi mangsa penindasan majikan akibat tiada jaminan hak yang saksama dengan pekerja tetap. Menurut pekerja yang ditawarkan kerja dalam MAB pula, beberapa manfaat kerja yang diperoleh ketika MAS telah dihakis, dan pendapatan pekerja dikurangkan daripada sebelum ini. 

Bukan sahaja pekerja dimangsakan, kesatuan dalaman MASEU (Kesatuan Sekerja Sistem Penerbangan Malaysia) juga dikuburkan dengan penstrukturan MAS. Ini dengan jelas menggambarkan taktik anti-kesatuan yang menjadi amalan Penerbangan Air Asia pula hendak diikuti oleh MAB untuk memastikan pekerja dikawal tanpa diorganisasi melalui kesatuan.  Taktik ‘union busting’ ini bukan perkara baru, misalnya pada 1980an syarikat bernama Harris Advanced Technology Sdn Bhd menukar namanya sebanyak enam kali yang mana langkah tersebut adalah untuk menggagalkan pekerja untuk menubuhkan kesatuan dalaman. Ini bermakna tanpa berjuang, hak pekerja dan kesatuan yang semakin hari semakin merosot tidak dapat ditegakkan. Yang jelas dalam isu ini, kesatuan yang hanya mengharapkan meja rundingan tidak dapat mengalahkan agenda majikan. Pengalaman pekerja sebelum ini menunjukkan hanya melalui pembinaan solidariti dan perjuangan dari bawah, pekerja mampu menumpaskan penindasan majikan.  

Di manakah pendirian ‘Rakyat Didahulukan’  kerajaan Najib apabila 20000 pekerja MAS diberhentikan? Semua ini berlaku di bawah perhatian Khazanah iaitu agen pelaburan di bawah Kementerian Kewangan di mana Najib adalah menterinya, dan seharusnya kesilapan-kesilapan pengurusan MAS yang menjurus kepada kerugian demi kerugian seharusnya diambil tanggungjawap oleh kerajaan, tetapi ternyata kerugian yang dicetuskan oleh majikan dan kerajaan, pekerja dijadikan mangsa. Sekalipun MAS adalah syarikat yang terikat kepada kerajaan (GLC), pekerja tidak didahulukan tetapi dengan pautan kepada kapitalisme keuntungan diutamakan. 

Sebuah kerajaan yang berlandaskan kepada hasrat rakyat akan memastikan syarikat seperti MAS distrukturkan dan dikendalikan berlandaskan kepada keperluan dan kebajikan rakyat bukannya semata-mata memfokuskan kepada keuntungan dan pasaran bebas. Walaupun MAS adalah GLC, birokrasi pengurusan yang dilantik oleh kerajaan diarahkan untuk memaksimumkan keuntungan, dan dengan itu syarikat seperti MAS tidak akan membuat keputusan secara demokratik yang melibatkan pekerja dan rakyat biasa, tetapi hanya berdasarkan kediktatoran sistem pasaran bebas kapitalisme.  


Agenda kapitalisme semakin menghakis hak dan kebajikan pekerja, dan pembinaan kesatuan sekerja dan kepimpinan yang mantap yang berlandaskan hak dan kebajikan pekerja amat perlu untuk melawan penindasan terhadap pekerja dan kesatuan.

No comments: