Wednesday 4 March 2015

CUBA: ADAKAH KERAJAAN RAUL CASTRO MENUJU KE ARAH KAPITALISME ?


Presiden Obama dan Raul Castro menyambut tahun baru 2015 dengan menandatangani satu perjanjian yang dianggap bersejarah antara kedua-dua negara tersebut. Perjanjian ini bertujuan untuk memulihkan hubungan diplomatik antara Amerika dan Cuba, memudahkan pelancongan dan juga untuk mengambil langkah-langkah awal ke arah pelonggaran sekatan perdagangan (embargo) yang telah dikenakan sejak revolusi Cuba 1960. Beberapa tahanan warganegara kedua-dua negara Cuba dan Amerika sudahpun dibebaskan sebagai tanda ke arah hubungan yang lebih erat di masa hadapan.

Langkah ini merupakan peralihan penting dalam polisi imperialisme Amerika Syarikat ke atas Cuba. Ia juga menandakan satu lagi langkah rejim Cuba ke arah pemulihan agenda kapitalis. Pengumuman ini adalah hasil rundingan rahsia antara kedua-dua kerajaan yang telah berlaku di Kanada untuk beberapa tahun. Rundingan yang melibatkan kerajaan sayap kanan Kanada dan Pope adalah amat penting dalam mengatur perjanjian-perjanjian tersebut.

Obama berhujah "Kita tidak boleh terus melakukan perkara yang sama (selama lebih 50 tahun) dan mengharapkan hasil yang berbeza". Kelas-kelas pemerintah Eropah, Kanada dan Amerika Latin telah lama mengambil pendekatan yang serupa seperti Obama terhadap Cuba.

Raul Castro mengangkat Obama dan menyarankan supaya dia diberikan anugerah Nobel Keamanan walaupun pemerintahan Obama selama 6 tahun telah melancarkan serangan ke atas pelbagai Negara !

Sejak revolusi Cuba 1959-1960, imperialisme Amerika Syarikat telah menggubal sekatan yang ketat dan melaksanakan pelbagai percubaan - termasuk campur tangan bersenjata pada tahun 1961 - untuk menggulingkan rejim Cuba dan memulihkan kapitalisme. Walaupun sekatan ekonomi yang dianggarkan telah menelan belanja sebanyak 1 trilion USD bagi Cuba sejak penguatkuasaannya, dasar ini tidak berjaya. Ini disebabkan oleh sokongan rakyat Cuba yang kukuh terhadap revolusi yang berlaku. Sekatan ekonomi tersebut juga adalah satu dasar untuk memenangi sokongan pelarian Cuba akibat revolusi yang menetap di Miami, Amerika.

Sekarang, imperialisme Amerika akan cuba menggunakan dasar baru yang telah bermula dengan usaha menarik balik sekatan ekonomi ke atas Cuba sedikit demi sedikit. Seperti yang dihujah oleh Trotsky, ancaman pemulihan kapitalisme ke atas kerajaan pekerja yang terpencil bukan sahaja datang dari bentuk serangan bersenjata daripada kuasa imperialisme, tetapi juga boleh datang dalam bentuk ‘barangan murah’. Objektif Amerika Syarikat adalah masih sama, tetapi jalan yang dipilih pada masa ini adalah berlainan. Mereka bercadang untuk membanjiri ekonomi Cuba dengan barangan dan pelaburan dengan matlamat untuk mengembalikan kapitalisme dengan sepenuhnya.

PERUBAHAN DALAM DASAR IMPERIALIS AMERIKA SYARIKAT

Perubahan baru dalam sikap masyarakat pelarian Cuba yang menetap di Amerika juga merupakan satu pencetus kepada pelonggaran sekatan tersebut. Walaupun sebelum ini mereka telah menyokong sekatan dan usaha menumbangkan rejim Castro, kini 52% daripada pelarian Cuba itu ingin menghentikan sekatan ekonomi. Sebahagian daripada kelas kapitalis, seperti pengusaha gula Alfy Fanjul, memihak untuk memberhentikan sekatan tersebut disebabkan oleh prospek pasaran baru yang akan muncul dalam Cuba di bawah sistem kapitalisme.

Ekonomi di Cuba semakin merosot disebabkan oleh keadaan ekonomi global. Kemenangan-kemenangan sosial dan segala manfaat yang dinikmati oleh rakyat semenjak revolusi kini semakin terhakis, terutamanya selepas kejatuhan Soviet Union pada awal 90an. Sokongan untuk revolusi dan penentangan rakyat terhadap kapitalisme dan imperialisme Amerika Syarikat telah membolehkan rejim Cuba untuk mengekalkan ekonomi terancang dan memperkuatkan birokrasi sepanjang dekad 90an sehingga kini. Walau bagaimanapun, nilai gaji rakyat Cuba kini adalah hanya 28% daripada tahun-tahun sebelum kejatuhan Soviet.


Namun, rejim Cuba bertahan disebabkan oleh beberapa faktor utama. Salah satu antaranya adalah sekatan terhadap Cuba oleh Amerika ini telah menyebabkan kemarahan rakyat terhadap kapitalisme secara berterusan. Pemerintahan Chavez juga telah memberikan sedikit ruang bagi Cuba untuk mempertahankan birokrasi mereka dengan bekalan minyak yang lebih murah daripada Venezuela.

KAWALAN PEKERJA DAN DEMOKRASI

Di Cuba, kekurangan kawalan pekerja secara demokratik ke atas pengurusan kerajaan, dan salah urus birokrasi yang korup telah memburukkan lagi krisis sosial yang terjadi akibat sekatan ekonomi dan pengasingan.

Gelombang revolusi yang melanda Venezuela, Bolivia dan Ecuador pada awal abad ke 21 telah menawarkan prospek bagi Cuba untuk keluar daripada pengasingan itu. Sebuah demokrasi pekerja yang tulen sudah pasti akan menggunakan peluang ini untuk mengambil langkah yang perlu untuk mencuba dan membentuk persekutuan sosialis negara-negara Amerika Latin. Ini boleh memulakan kerjasama ekonomi dan perancangan di antara negara-negara tersebut dan boleh menyeru kepada kelas pekerja di seluruh Amerika Latin dengan menawarkan alternatif yang jelas kepada kapitalisme.

Malangnya, birokrasi rejim Cuba serta kepimpinan reformis Morales, Chavez dan Carrera tidak bersedia untuk mengambil langkah ini. Sebahagian daripada mereka telah kekal terperangkap dalam kapitalisme walaupun pada mulanya memperkenalkan pembaharuan dan mengambil beberapa langkah untuk menentang kepentingan kelas pemerintah dan imperialisme. Rejim Cuba pula telah memperkenalkan beberapa langkah untuk pemulihan kapitalisme. Perkembangan terkini mencadangkan langkah seterusnya dalam proses ini.

Langkah-langkah pemulihan hubungan diplomatik antara Amerika Syarikat dan Cuba mewakili satu ancaman kepada kejayaan dan manfaat yang diperolehi oleh rakyat Cuba semenjak revolusi 1960. Undang-undang buruh baru di Cuba menampakkan serangan mendalam terhadap hak-hak pekerja. Umur persaraan dinaikkan sebanyak lima tahun pada 2008. Pengenalan 'dua mata wang', di mana beberapa pekerja kini dibayar dalam dolar Amerika, memburukkan lagi ketidaksamaan antara yang dibayar dalam dolar dan pekerja yang dibayar dengan matawang tempatan peso. Rejim Cuba mencipta 'peso tukar' (CUC) yang ditetapkan pada nisbah 1 kepada 1 dengan dolar, yang digunakan dalam sektor pelancongan dan bagi produk yang diimport. Produk tempatan menggunakan ‘peso tempatan’ (CUP) dengan kira-kira nisbah 1 kepada 25 daripada matawang ‘peso tukar’. Kerajaan mengumumkan hasratnya untuk menghapuskan mata wang kedua ini tetapi masih belum dilaksanakan.


Kerajaan Cuba telah merancang untuk memberhentikan kerja lebih satu juta pekerja dari sektor kerajaan, dan membenarkan penubuhan beribu-ribu perniagaan kecil dan sederhana, sebanyak 500,000 lesen telah dikeluarkan baru-baru ini. Walau bagaimanapun, usaha ini hanya tertumpu kepada perniagaan kecil seperti restoran. Bilangan pekerja yang bekerja di sektor swasta telah meningkat daripada kira-kira 140,000 ke 400,000 sejak 2007. Ini adalah angka yang banyak tetapi masih kecil dibandingkan dengan seluruh tenaga kerja seramai lebih lima juta.

Satu landasan untuk pemulihan kapitalis telah diwujudkan dalam sektor pelancongan, yang menjadi pusat pelaburan asing dari Eropah, Kanada, Brazil dan baru-baru ini, syarikat dari China. Gejala pelacuran yang hilang akibat revolusi kini di jalan-jalan di Havana, terutamanya di kawasan-kawasan pelancongan.

Beberapa Zon Pembangunan Khas seperti pembinaan kemudahan pelabuhan baru di Mariel Bay telah dibuka dan dibiayai oleh pelaburan dari kapitalis Brazil dan Singapura. Ini adalah untuk mengambil kesempatan terhadap perkembangan baru di rantau ini dengan pengakhiran sekatan dan juga pembukaan pasaran-pasaran baru di Cuba. Pelabur-pelabur ini akan mendapat kontrak 50 tahun berbanding dengan 25 tahun sebelum ini dan tidak perlu membayar cukai keuntungan sebanyak 12% selama 10 tahun. Mereka juga akan mendapat faedah penangguhan cukai-cukai lain.


Generasi muda yang terdesak untuk menikmati kebebasan seperti penggunaan internet dan kebebasan perjalanan antarabangsa tidak merasai kemenangan-kemenangan revolusi tetapi menjadi mangsa krisis ekonomi dan sosial yang dikongkong oleh birokrasi kerajaan.
Pada awalnya, percubaan kapitalis untuk membanjiri pasaran tempatan dengan produk-produk murah akan menjadi sebuah tarikan sehingga realiti hidup kapitalisme yang kejam akan kembali mencengkam rakyat.

BERGERAK KE ARAH PEMULIHAN SEMULA SISTEM KAPITALISME

Perkembangan ini jelas mewakili satu langkah penting ke arah pemulihan semula kapitalisme. Langkah-langkah ini sedang dijalankan di beberapa sektor tetapi di bawah penyeliaan kerajaan yang berterusan. Kerajaan masih mengekalkan kawalan yang kuat dan dapat mematahkan langkah-langkah kapitalis asing pada peringkat tertentu. Pelabur asing juga masih perlu berunding secara terus dengan kerajaan atau syarikat-syarikat yang dikawal oleh kerajaan. Sektor-sektor yang penting bagi ekonomi Cuba masih belum diswastakan atau dijual kepada kapitalis asing.

Bagi sosialis dan kelas pekerja, langkah-langkah ke arah pemulihan kapitalisme ini mewakili satu langkah ke belakang. Ini menandakan hakisan kepada manfaat yang diraih daripada revolusi Cuba untuk rakyat biasa. Ia juga akan digunakan oleh kelas pemerintah, terutamanya di Amerika Latin untuk cuba mencemarkan nama dan idea-idea sosialisme dan menafikan sosialisme sebagai alternatif kepada kapitalisme.

Walau bagaimanapun, ini tidak akan mempunyai kesan yang sama seperti serangan ideologi terhadap sosialisme daripada kelas pemerintah berikutan kejatuhan rejim-rejim Stalinis di Kesatuan Russia (USSR) dan Eropah Timur pada awal 90 an. Satu fasa baru krisis kapitalis dan perjuangan kelas pekerja sedang berlangsung di peringkat antarabangsa pada masa ini. Kelas pekerja dan rakyat biasa telah melalui dua puluh lima tahun 'ketuanan pasaran bebas' dan sudah mula berjuang menentangnya. Di Brazil, Argentina, Chile dan negara-negara lain, perjuangan pekerja yang baru telah bermula.

Mengangkat sekatan menandakan kekalahan bagi dasar imperialisme Amerika Syarikat dan cubaan untuk menggulingkan rejim Cuba yang telah bertahan selama lebih lima dekad. Ia akan memberi peluang kepada Cuba untuk kembali berdagang di pasaran bebas dunia sekali lagi. Walau bagaimanapun, tanpa kewujudan demokrasi pekerja tulen, perubahan ini akan mempercepatkan proses pemulihan kapitalis. Kawalan kerajaan ke atas perdagangan asing yang diurus oleh demokrasi pekerja adalah penting untuk membantu mengelakkan ancaman ini daripada semakin meningkat.

KRISIS KAPITALIS ANTARABANGSA

Peralihan kepada pemulihan kapitalis penuh di Cuba bagaimanapun tidak akan menjadi satu proses yang mudah dan tanpa halangan. Sebahagian daripada rejim Cuba seolah-olah tidak mahu pergi ke arah ini. Lebih penting lagi, Mariela Castro, anak perempuan Raul dengan tegas telah mengumumkan bahawa rakyat Cuba "tidak mahu kembali kepada kapitalisme".

Di bawah keadaan krisis kapitalis antarabangsa yang baru, pergerakan ke arah pemulihan kapitalis boleh dikekang. Situasi ekonomi campuran atau hibrid boleh berterusan untuk beberapa waktu. Pada mulanya, kemenangan-kemenangan revolusi seperti kemudahan kesihatan dan sistem pendidikan boleh dikekalkan, walaupun sektor tersebut telah mengalami masalah akibat kekurangan pelaburan baru-baru ini. Banyak halangan kekal untuk diatasi dan beberapa penentangan dari rakyat mungkin dapat dilihat apabila realiti pemulihan kapitalis menjadi ketara.

Keperluan untuk membina penentangan terhadap pemulihan kapitalisme dan perjuangan untuk demokrasi pekerja tulen adalah amat penting pada masa ini. Sebuah gerakan sedemikian akan dapat menyatukan kelas pekerja dan anak muda di seluruh Amerika Latin yang sedang semakin menjurus ke arah perjuangan untuk mempertahankan kepentingan dan hak mereka.

Tony Saunois, CWI

No comments: