Monday 9 February 2015

BOLEHKAH HUDUD SELESAIKAN MASALAH SOSIAL DAN EKONOMI DI KELANTAN ?

Kerajaan PAS di Kelantan dijangka akan membawa isu Hudud ke parlimen untuk mendapatkan sokongan majoriti bagi membolehkan Hudud dilaksanakan di negeri Kelantan. PAS beranggapan bahawa dengan Hudud, gejala sosial yang semakin meningkat di Kelantan dapat dibendung. 

Gejala sosial (penyalahgunaan dadah, pengangguran, rogol), jenayah dan masalah kesihatan (HIV, Denggi) juga semakin meningkat di negeri ini. 15 peratus kanak-kanak hidup dalam kemiskinan dan dengan kadar makanan berzat yang tidak mencukupi. 

Kelantan telah mengharungi bencana banjir yang merupakan di antara yang paling teruk dalam sejarah. Aktiviti pembalakan dan pemusnahan alam sekitar yang tidak terkawal oleh golongan peniaga yang lebih mementingkan keuntungan daripada kemampanan alam sekitar adalah di antara penyebab kepada bencana banjir yang agak teruk kali ini. 

Kelantan adalah di antara negeri termiskin di Malaysia dengan kebanyakan aktiviti ekonomi masih berlandaskan kepada pertanian. Pelaburan dan aktiviti berlandaskan industri tidak dapat dipergiatkan memandangkan pelabur dan pemodal hanya berniat untuk memfokus kepada pusat ekonomi yang lebih strategik dan menguntungkan seperti di Lembah Kelang, Pulau Pinang dan Johor. Ini menyebabkan ramai anak muda terpaksa berhijrah ke negeri-negeri lain yang lebih maju untuk mendapatkan pekerjaan. 

PAS telah memerintah Kelantan semenjak 1990, iaitu hampir 25 tahun. Walaupun PAS mengangkat agenda ‘Negara Islam’ atau ‘Negara Berkebajikan’, tetapi pemerintahannya di Kelantan masih terikat kepada agenda sistem pasaran bebas kapitalisme seperti juga kerajaan BN sebelumnya. Ini menunjukkan PAS hanya mampu memainkan retorik agama untuk kepentingan kuasa politik mereka, dan tidak berdaya untuk keluar daripada cengkaman sistem kapitalisme yang merupakan asas kepada belenggu kemiskinan dan gejala sosial yang semakin meningkat. 

Justeru dengan mengetatkan undang-undang atau hukuman dengan Hudud, ia tidak mampu menyelesaikan kemiskinan dan masalah ekonomi yang sedang melanda rakyat Kelantan. Ini kerana PAS tidak mempunyai alternatif kepada sistem ekonomi kapitalis. Hanya dengan merancang ekonomi secara demokratik berlandaskan kepada keperluan dan kebajikan rakyat di Kelantan dan di negeri-negeri lain, satu penyelesaian kepada kemiskinan dan masalah sosial yang lain dapat dicapai. Solidariti daripada kelas pekerja dan rakyat biasa di Kelantan dan di negeri-negeri lain perlu dibina untuk berjuang ke arah tersebut.

No comments: