Thursday 4 December 2014

RINGGIT JATUH PALING TERUK DALAM EMPAT TAHUN…RM8 BILLION LESAP DALAM SEHARI DARIPADA BURSA SAHAM KL !

Justifikasi kerajaan Malaysia bahawa ekonomi negara bebas daripada krisis global sekali lagi berkecai apabila krisis harga minyak dunia telah memberikan impak kepada ekonomi pasaran bebas negara. Ringgit jatuh paling teruk dalam empat tahun. Manakala, RM8 billion kekayaan negara lesap dalam sehari daripada bursa saham KL. Ini satu lagi bukti kepada kontradiksi yang wujud dalam sistem pasaran bebas kapitalisme yang sentiasa menggalakkan persaingan di antara syarikat-syarikat kapitalis untuk mengaut keuntungan semaksimum mungkin dengan nama untuk menjana kekayaan. Tetapi, yang jelas rakyat biasalah yang akan menjadi mangsa akibat krisis buatan kapitalisme ini. 

Ekonomi dunia terus menghadapi krisis demi krisis sejak krisis kewangan 2008 yang bermula di Amerika Syarikat, dan seterusnya telah merebak ke negara-negara di Eropah. Rakyat biasa di Amerika dan Eropah masih menghadapi masalah pengangguran dan kejatuhan taraf hidup tanpa penyelesaian yang kukuh. Manakala pakar ekonomi-ekonomi kapitalis sendiri sehingga kini gagal untuk memperbetulkan sistem yang dipuja oleh mereka.

Kini ekonomi di China juga semakin merosot yang telah mengakibatkan pemintaan terhadap bahan komoditi seperti minyak, kelapa sawit, getah dan lain-lain juga turut jatuh. Selama ini, China telah memberikan harapan kepada negara-negara pengeluar komoditi atau ekonomi yang berorientasikan ekspot seperti Malaysia. Dengan krisis kejatuhan harga komoditi termasuk minyak, banyak negara terutama negara-negara pengeluar minyak seperti Venezuela, Nigeria dan negara-negara di Timur Tengah yang bergantung kepada pendapatan minyak, boleh menghadapi konflik sosial yang teruk jika harga terus jatuh.

Kejatuhan harga minyak kali ini adalah disebabkan oleh kerakusan Amerika untuk mengaut keuntungan dengan pengeluaran minyak secara besar-besaran dengan menggunakan teknologi terbaru (‘shale revolution’) untuk menandingi negara-negara OPEC (Pertubuhan Negara-Negara Pengeluar Petroleum) seperti Arab Saudi. Ini telah mewujudkan ketepuan dalam pasaran apabila pengeluaran melebihi permintaan. Pada satu ketika harga minyak yang bernilai lebih 100 dolar setong kini telah jatuh sehingga ke 65 dolar setong, dan dijangka mampu jatuh sehingga 32 dolar setong.

Ekonomi Malaysia pada masa kini bukan sahaja menghadapi masalah akibat kejatuhan harga minyak dunia, malah ekspot komoditi lain seperti getah dan kelapa sawit, dan juga eksport barangan pembuatan (manufacturing) juga tidak mengalakkan. Manakala, ekonomi domestik yang telah menjanakan pertumbuhan ekonomi beberapa tahun kebelakangan ini juga dijangka merosot akibat inflasi yang semakin meningkat. Ini menunjukkan jika ekonomi global semakin teruk, Malaysia dan negara-negara berorientasikan ekspot tidak dapat mengelak daripada terjunam ke dalam satu lagi kegawatan ekonomi.


Sistem ekonomi pasaran bebas yang dikawal oleh segolongan kapitalis yang jumlahnya kurang daripada satu peratus melalui syarikat-syarikat multinasional kini sedang meranapkan kehidupan rakyat biasa akibat krisis dan konflik yang diwujudkan oleh mereka.. Hanya jika ekonomi dikawal secara demokratik oleh rakyat biasa sahajalah, kekayaan dan sumber-sumber ekonomi negara dan sejagat dapat dipergunakan sepenuhnya untuk meningkatkan keperluan sosial dan taraf hidup.

No comments: