Tuesday 17 June 2014

WARGA PEKERJA TNB BANTAH AGENDA KAPITALIS MAJIKAN TNB DAN SYARIKAT YTL

KEEMPAT-EMPAT KESATUAN SEKERJA TNB TELAH BERSEPAKAT MEMBANTAH KERJASAMA DIANTARA SYARIKAT YTL DAN MAJIKAN TNB

Tindakan kerajaan untuk memberikan pelbagai kemudahan dengan matlamat untuk meningkatkan keuntungan kepada syarikat pengeluar tenaga bebas seperti YTL Sdn. Bhd. bukan sahaja telah mengakibatkan kenaikkan tarif elektrik bagi rakyat tetapi juga memberikan kesan kepada warga pekerja TNB. Oleh itu, keempat-empat kesatuan TNB telah bersepakat untuk membuat satu bantahan yang mana ini merupakan initiatif pertama kali kesatuan-kesatuan sekerja TNB dalam masa 67 tahun.

Pada Ahad 15 Jun lalu, seramai 500  wakil daripada Persatuan Eksekutif TNB, Kesatuan Pekerja-Pekerja Pecantuman TNB dan Tenaga Nasional Berhad Junior Officers Union telah berarak menuju ke Bangunan Ibu Pejabat TNB, Bangsar, bagi menyerahkan memorandum bantahan "Tolak YTL" kepada Pengurusan TNB di Lobi Bangunan Ibu Pejabat TNB. 

Memorandum bantahan Kesatuan Sekerja TNB terhadap YTL dibuat berdasarkan pengalaman pahit hasil perjanjian antara TNB dengan YTL semenjak tahun 1993. Perjanjian itu telah membawa pelbagai masalah bagi pihak TNB yang juga membebankan rakyat biasa sebagai pengguna perkhidmatan TNB, dan juga warga pekerja TNB.

Oleh kerana perjanjian pertama di antara TNB dan YTL akan tamat pada September 2015, syarikat berkenaan kini mewujudkan konsortium baru bagi menyambung kontrak dan merancang perlaksanaan projek baru di atas tanah TNB di Stesen Janaelektrik Pasir Gudang. Pihak Kesatuan Sekerja TNB dengan tegas membantah rancangan usahasama yang membabitkan syarikat YTL untuk projek penjanaan tenaga ‘Track 4’ Pasir Gudang, Johor itu.

Memorandum empat muka surat itu juga mengandungi tuntutan bagi menjamin hak pekerjaan kakitangan TNB dan kawalan keatas tariff elektrik telah diserah kepada CEO TNB.


Kesepakatan sebegini di kalangan kesatuan sekerja diperlukan untuk memperkuatkan tuntutan dan hak pekerja, dan harus diteruskan dalam tindakan-tindakan di kalangan kesatuan-kesatuan sekerja yang lain. Selain itu, kesepakatan kesatuan-kesatuan sekerja juga harus diberikan perhatian untuk tindakan-tindakan selain yang merentasi isu-isu dalam sektor pekerjaan yang diwakili oleh mereka, terutamanya dalam isu-isu yang melibatkan warga pekerja secara keseluruhan seperti implikasi GST, penghakisan hak buruh, serangan ke atas pemimpin dan kesatuan sekerja, gaji minimum, kos perumahan, peningkatan harga barang dan lain-lain isu yang semakin menekan warga pekerja.

No comments: