Friday 13 June 2014

PIALA DUNIA DAN NASIB KELAS PEKERJA

Final piala dunia di Brazil tahun ini sudah semestinya menjadi tumpuan kaki bola. Yang tak minat bola pun pasti terkena virusnya. Ke manapun kita pergi semua orang akan bercakap pasal bola. Pasti ramai yang akan bersengkang mata sehinggakan ke pagi menonton pertandingan nanti. Malanglah bagi mereka yang terpaksa bekerja, tak kiralah pegawai kerajaan, pejabat swasta, pekerja kilang, yang mesti bekerja 8 pagi sampai 5 petang. Apalagi kalau dah masuk bulan puasa, lepas sahur boleh terus tengok bola. Akhirnya ibadah ke mana, bola ke mana, kerja ke mana.
Namun, di sebalik sambutan kemeriahan piala dunia ini, tahukah anda bahawa sebenarnya majoriti rakyat Brazil yang memiliki latar belakang kelas pekerja yang miskin menolak temasya sukan tersebut? Tahukah anda bahawa jersi England yang dijual seharga 90 Pound sterling (atau setara RM450) telah menimbulkan kemarahan rakyat England ? Mengapa kita mesti tahu semua ini? Apa kaitannya semua itu dengan kelas pekerja? Jawapannya sederhana. Bola sepak bukan hanya apa yang berlaku 2x45 minit di dalam padang sahaja. Sukan ini telah menjadi sebuah industri kapitalis yang besar dan berpengaruh terhadap sosial masyarakat. Kerana bolasepak adalah sebahagian daripada kapitalisme, maka ia juga memangsa kelas pekerja. Bagaimana? Mari kita semak dua berita ini.
Bantahan Piala Dunia di Brazil
Populariti sukan ini di Brazil tidak boleh menandingi keperluan mendesak rakyatnya yang semakin terpinggirkan. Pemerintah Brazil menghabiskan lebih daripada 11 billion dolar Amerika untuk keperluan piala dunia. Jumlah ini tiga kali ganda lebih besar daripada piala dunia 2010 di Afrika Selatan. Peruntukan tersebut diperolehi dengan mengurangi subsidi pendidikan, kesihatan, perumahan, dan pengangkutan yang merupakan keperluan asas rakyat. Meskipun telah mengeluarkan biaya besar, tetapi masih banyak kekurangan dalam persiapan. Hanya dalam kiraan hari sebelum pertandingan bermula, masih banyak stadium yang belum siap dan diragukan tahap keselamatannya. Pekerja yang bekerja membuat stadium-stadium tersebut banyak mengalami kemalangan di tempat kerja kerana tahap keselamatan tidak dijaga oleh pihak penganjur.
Selain itu, untuk memberikan imej yang baik kepada para pelancong yang akan datang ketika piala dunia nanti, pemerintah telah merobohkan kawasan setinggan di bandar-bandar tempat pertandingan bola sepak diadakan. Rakyat miskin yang tinggal di kawasan setinggan tersebut tidak diberi pilihan tempat tinggal yang lebih baik kerana memang bajet untuk perumahan sudah digunakan untuk penye- lenggaraan piala dunia.
Semenjak protes besar-besaran menentang kenaikan tambang pengangkutan keretapi sebesar dua puluh sen pada tahun 2012, ketidakpuasan di kalangan rakyat terhadap pemerintah terus merebak. Pada kejohanan bolasepak piala Konfederasi tahun 2013 protes bertambah besar. Kejayaan Brazil menjadi juara dalam kejohanan tersebut tidak dapat menghibur rakyat miskin di negara itu yang terhimpit dengan persoalan ekonomi teruk. Kurang dari sebulan sebelum pertandingan bermula, ribuan rakyat masih turun ke jalan membantah pelaksanaan piala dunia.
Cerita Jersi England
Jika Perdana Menteri Inggeris, David Cameron telah dibuat marah dengan harga jersi bolasepak negara tersebut untuk piala dunia yang harganya terlalu mahal, maka isu ini patut mendapat perhatian kita, terutama kelas pekerja. Jersi tersebut dibuat oleh pekerja kilang di Indonesia. Salah satu sumber di negara itu mengatakan, gaji pekerja Nike di Indonesia hanya RM2 sahaja sejam menjadikan biaya yang diperlukan untuk menghasilkan jersi tersebut hanya sekitar RM20 sahaja. Nike, syarikat kapitalis pengeluar rasmi jersi tersebut telah mengaut keuntungan yang sangat besar dengan penjualan jersi ini. Dengan harga jualan mencapai 90 Poundsterling (RM450) setiap helai, harga tersebut adalah 20 kali ganda daripada biaya pengeluaran yang dikeluarkan untuk membuat jersi tersebut.
Di sini kita dapati realiti sebenar ketamakan syarikat kapitalis bagaimana mereka mengaut keuntungan hasil titik peluh pekerja tanpa pulangan yang memadai untuk pekerja tersebut. Apakah yang difikirkan oleh para pekerja tersebut ketika mereka meletakkan tag harga pada jersi yang mereka buat? Salah seorang pekerja kilang Indonesia pembuat barangan Nike mengatakan: “Di kilang, setiap setengah minit saya menjahit sebuah jersi, bermakna 120 helai dalam sejam. Sedangkan saya dan pekerja yang lain hanya mendapat upah RM550 sebulan, masih rendah untuk mencukupi kehidupan yang layak. Nike telah mengaut keuntungan besar dari hasil kerja kami, tetapi gagal mensejahterakan kami.” Bandingkan upah ribuan pekerja tersebut dengan gaji CEO Nike yang berpejabat di Amerika Syarikat mencecah hampir RM50 juta setahun, atau dengan pemain bola sepak England Wayne Rooney mendapatkan RM1.5 juta sebulan dari kelabnya hanya dengan bermain bola. Memandangkan Rooney juga adalah duta produk Nike, tentu saja berjuta- juta ringgit lagi akan masuk ke poketnya untuk mempromosikan produk syarikat tersebut. Lalu, di manakah keadilan bagi ribuan pekerja? Padahal tanpa kerja mereka, kain tidak akan pernah menjadi jersi.
Tujuan kami menuliskan dua berita di atas supaya kita sedar bahawa di tengah keseronokan kita melayan bola, masih ada ruang bagi kita untuk melihat sisi lain daripada piala dunia. Kapitalisme sudah masuk ke dalam semua celah kehidupan sehingga kita tidak terasa bahawa sebenarnya kita ikut mempertahankan sistem tersebut jika kita tidak mengetahui bagaimana sebenarnya sistem ini bekerja. Kapitalisme hidup ke atas penindasan pekerja untuk keuntungan maksima majikan yang kaya. Contoh di Brazil dan England di atas jelas menunjukkan perkara itu. Bolehkah kita luangkan sedikit masa berfikir dan melihat bagaimana ia juga sebenarnya berlaku dalam kehidupan di sekeliling kita?

 Iyan, CWI Malaysia

No comments: