Sunday 6 April 2014

Sarawak: Ketua Menteri Bertukar…Nasib Rakyat Biasa Kekal !



Pada 28 Februari lalu , Taib Mahmud , Ketua Menteri  Sarawak telah mengumumkan secara rasmi meletak jawatan yang disandang sejak 26 March 1981.  Beliau telah diganti oleh Adenan Satem , berusia 70 tahun dan dilantik pada 1 March 2014.  Perlantikan ini menanda sudah 5 Ketua Menteri telah memegang jawatan itu semenjak penubuhan persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 bersama Sabah dan Malaya. 

Peletakan jawatan sebagai Ketua Menteri selepas berkhidmat selama 33 tahun sudah semestinya mengundang pelbagai reaksi oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia dan Sarawak khususnya. Taib mempunyai fail siasatan sebanyak 400 di Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia(SPRM).  Pelbagai pendedahan dibuat di media bahawa Taib mempunyai jaringan perniagaan persendirian luas meliputi Syarikat Cahaya Mata Sarawak (CMS) , Sarawak Energy Berhad ,  Naim Holdings dan lain-lain lagi yang didakwa diperolehi melalui kuasa politik beliau sebagai orang nombor satu di Sarawak.  Namun begitu , dengan kuasa kewangan dan jentera politik yang lebih cekap daripada pembangkang, beliau berjaya memberi kemenangan selesa pada setiap pilihanraya untuk BN dan ini dipergunakan untuk mengekalkan kuasa selama 3 dekad.


Seminggu selepas Adenan Satem dilantik sebagai Ketua Menteri , pada suatu sidang akhbar beliau memetik slogan “ Sarawak Untuk Orang Sarawak “ ketika bercakap mengenai isu autonomi Sarawak sedang hangat diperkatakan.  Slogan ini digunakan untuk menunjukkan BN Sarawak adalah prihatin terhadap isu autonomi terutamanya dalam hal ehwal pembahagian hasil bumi dan ekonomi yang dikatakan perlu mengutamakan orang tempatan.  Hal ini ditimbulkan bagi persiapan menghadapi pilihanraya negeri yang bakal diadakan seawal tahun depan walaupun sepatutnya diadakan pada tahun 2016. Persiapan ini dikuatkan dengan pendamaian puak yang bertelagah di parti-parti komponen BN Sarawak iaitu , SUPP ( Parti Bersatu Rakyat Sarawak ) dan SPDP ( Parti Demokratik Progresif Sarawak).
Walaupun mempunyai Ketua Menteri baru , sistem ekonomi yang berasaskan keuntungan maksimum masih tetap terpelihara.  Ini terbukti selepas Taib meletakan jawatan sebagai Ketua Menteri, pasaran saham bagi syarikat yang berkaitan dengan beliau tidak mempunyai perubahan yang besar.  Ianya jelas membuktikan para pemilik syarikat besar di Sarawak masih yakin terhadap BN bahawa kepentingan keuntungan mereka akan diperkukuhkan meskipun Ketua Menteri bertukar.  

Reaksi Pakatan Rakyat (PR) Sarawak, menentang perlantikan Taib sebagai Gabenor baru Sarawak dengan alasan ianya bertentangan dengan undang-undang kerana beliau masih dalam proses siasatan oleh pihak SPRM.  Walau bagaimanapun, nasi sudah jadi bubur , Taib Mahmud juga pada 1 March selamat  mengangkat sumpah sebagai Gabenor Sarawak yang ke-7  menggantikan Abang Mohammad Salahuddin yang bersara.  Sebelum ini, PR menggunakan kekayaan peribadi Taib Mahmud sebagai modal utama bagi mendapatkan sokongan orang ramai.  Ianya bukan penyebab utama PR memperoleh sokongan di beberapa kerusi bandar yang mereka menang. Dengan adanya Ketua Menteri baru, PR Sarawak ternyata diam seribu bahasa kerana politik serangan  peribadi akhirnya memakan diri sendiri.

Serangan terhadap hak ekonomi, sosial dan demokrasi oleh kerajaan negeri menyebabkan segolongan rakyat terutamanya di kawasan bandar mengundi pembangkang.  Hakikatnya , para pekerja tetap menerima gaji minimum RM 800 , kemiskinan bandar dan luar bandar masih tidak berubah , peluang pekerjaan masih terhad dan masih ramai pekerja Sarawak bekerja di Semenanjung , Singapura dan lain-lain tempat lagi.  Memang jelas, lapisan rakyat biasa dan pekerja masih tidak mempunyai perwakilan mereka di persada politik untuk menyuarakan kepentingan mereka.  Dengan situasi yang ada , anak muda , pekerja dan rakyat biasa memerlukan satu organisasi politik yang bebas untuk bersatu bagi melindungi kepentingan mereka memandangkan mereka adalah golongan majoriti di Sarawak mahupun di Semenanjung.  

Erick, CWI Malaysia

No comments: