Thursday 30 January 2014

MELANGKAH KE 2014 DENGAN BEBAN RAKYAT YANG TERUS MENINGKAT

SOLIDARITI DI ANTARA WARGA PEKERJA DAN KESATUAN SEKERJA, DAN JUGA DENGAN GOLONGAN TERTINDAS YANG LAIN SEPERTI ANAK MUDA DAN PELAJAR JUGA PERLU DIBINA UNTUK MEMPERKUATKAN PERJUANGAN MEMBINA ALTERNATIF KEPADA KAPITALISME.


Pada awal bulan Januari tahun 2013, kerajaan mengumumkan bahawa gaji minimum akan diamalkan di seluruh negara, dan memberikan harapan bahawa taraf hidup pekerja akan meningkat dengan amalan tersebut. Walaupun gaji minimum RM900 di Semenanjung dan RM800 di Sabah dan Sarawak tidak selaras dengan taraf sebenar sara hidup pekerja masa kini, banyak syarikat yang tidak mengamalkan polisi gaji minimum tersebut dan dengan sewenang-wenangnya memansuhkan elaun-elaun tertentu yang sebelum ini diterima oleh pekerja dengan mempergunakan kelemahan kerajaan dalam pelaksanaan polisi tersebut.  Ini menunjukkan seperti biasa keprihatinan kerajaan hanyalah sehingga pilihan raya selesai, dan seperti kacang lupakan kulit, hak dan keperluan rakyat terus dipinggirkan.

Setahun sudah berlalu semenjak pelaksanaan polisi gaji minimum, tetapi taraf hidup pekerja terus dibelenggu dengan beban kehidupan yang semakin meningkat. Harga barangan dan perkhidmatan asas seperti gula, petrol, sayur-sayuran, pengangkutan dan lain-lain semakin meningkat, dan had gaji minimum tersebut jauh daripada taraf gaji yang diperlukan oleh pekerja pada masa kini. Manakala, kerajaan sudah merancang untuk mengurangkan subsidi untuk barangan asas dan memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada pertengahan tahun 2015 yang sudah semestinya akan terus membebankan golongan berpendapatan rendah dan juga menengah.

Selain itu, golongan kapitalis pula terus menghakis hak pekerja, dan serangan demi serangan ke atas hak kesatuan terus meluas. Misalnya, pada December tahun lalu, 27 pekerja Hong Leong Bank yang sudah lama bekerja dengan bank tersebut, ditamatkan kerja apabila mereka enggan untuk berpindah ke cawangan yang jauh daripada tempat kediaman mereka sekarang.  Manakala, kesatuan dan pemimpin kesatuan juga diserang untuk melemahkan hak pekerja, dan serangan terbaru adalah terhadap Presiden NUFAM ( Kesatuan Sekerja Anak Kapal Penerbangan MAS) yang dipecat apabila isu-isu pekerja diketengahkan kepada majikan. 

Pada masa yang sama, pencabulan hak pekerja dijangka akan terus berleluasa di kilang-kilang yang tidak ada kesatuan dengan polisi majikan untuk meminumkan kos dan meningkatkan keuntungan dengan keadaan ekonomi global yang tidak menentu. Ini termasuk penindasan terhadap pekerja migran yang dipergunakan oleh majikan untuk menghakis hak pekerja tempatan. Ini adalah taktik ‘pecah dan perintah’ yang cuba dipergunakan oleh majikan untuk melemahkan hak pekerja secara keseluruhan.

Dengan keadaan ekonomi yang tidak stabil, dan hutang negara yang semakin meningkat,  dijangka kerajaan akan tertekan untuk memotong lebih banyak subsidi dan perbelanjaan awam. Pada masa yang sama kerajaan juga akan terus mendukung keperluan golongan kapitalis untuk memaksimumkan keuntungan dengan nama untuk meningkatkan ekonomi. Polisi dan undang-undang seperti GST akan dilaksanakan oleh kerajaan atas desakan golongan kapitalis dan pasaran bebas. Akhirnya, rakyat dan kelas pekerja yang sudah pun dibebankan dengan hutang isi rumah yang tinggi akan terus menjadi mangsa kepada polisi kerajaan yang memihak kepada golongan kapitalis.     

Untuk meningkatkan hak dan keperluan kelas pekerja, kesatuan sekerja dan warga pekerja tiada pilihan lain, selain bersatu untuk memperjuangkan hak dan keperluan mereka.  Kesatuan-kesatuan sekerja di bawah naungan MTUC perlu mengatur langkah untuk mengorganisasikan lebih ramai pekerja termasuk pekerja migran. Kesatuan harus diperkuatkan dengan kepimpinan yang sanggup berjuang, dan dengan kepimpinan yang komited berlandaskan kepada aspirasi pekerja. Ini akan memberikan keyakinan kepada warga pekerja, termasuk pekerja muda yang ingin melihat perubahan dalam kehidupan mereka untuk bersatu dan berjuang. Solidariti di antara warga pekerja dan kesatuan sekerja di berbagai-bagai sektor, dan juga dengan golongan tertindas yang lain seperti anak muda dan pelajar juga perlu dibina untuk memperkuatkan perjuangan pekerja. Hanya melalui perjuangan sahajalah satu perubahan dalam kehidupan kelas pekerja dan rakyat biasa dapat dilakukan.  

No comments: